Chef Engineer
Hati umat Islam berkarat jika meninggalkan zikir
Oleh Mohd Adid Ab Rahman


Jiwa orang selalu ingat Allah sentiasa bening, tenang walaupun banyak masalah hidup

ORANG dalam hatinya terpancar keimanan kukuh, akan selalu giat berusaha sepanjang langkah usianya untuk bertaqarub kepada Allah kerana didorong rasa cinta mendalam terhadap-Nya. Kasih sayang dan kecintaan kepada Allah menjadikan seseorang itu sentiasa rindu pada-Nya.

Ibarat seorang anak muda sedang mabuk asmara, selalu terkenang-kenang si buah hatinya. Orang yang beriman, ingatannya tetap bergetar tulus kepada-Nya tanpa mengira waktu dan tempat. Bagi mukmin sejati, zikir dan hati adalah satu nyawa, tidak boleh dipisahkan.

Ia ditegaskan Ibn Taimiyah: "Zikir bagi hati adalah umpama air bagi ikan, bagaimana keadaan ikan apabila berpisah daripada air?"

Inilah gambaran orang beriman, yakin percaya kepada Allah dan menginsafi diri tidak lebih sebagai seorang hamba sangat lemah yang selama ini menerima nikmat Allah tidak terhitung banyaknya.

Hal ini menepati firman Allah yang bermaksud: "Wahai orang beriman, (untuk bersyukur kepada Allah) ingatlah serta sebutlah nama Allah dengan ingatan serta sebutan yang sebanyak-banyaknya; dan bertasbihlah kamu kepada-Nya pada waktu pagi dan petang." (Surah al-Ahzab, ayat 41-42)

Kebanyakan masyarakat faham zikir hanya kata-kata yang dilafazkan saban kali habis menunaikan solat fardu, solat sunat atau membisik doa ketika ingin makan, memulakan sesuatu kerja yang baik, terjaga dan tidur serta bersin.

Padahal hakikat zikir kepada Allah sebenarnya tidak tertentu kepada zikir lisan semata-mata seperti mana ditegaskan Al-Imam An-Nawawi, bahawa zikir tidak terbatas kepada tasbih, tahlil, takbir dan lain-lain zikir lisan, mereka yang bekerja kerana Allah juga orang yang berzikir kepada Allah.

Pendapat beliau disokong Basri Ibrahim Al-Azhari dalam bukunya Salah Faham Terhadap Konsep Ibadah, Ilmu dan Zikir, bahawa setiap orang yang taat kepada Allah, mengikut segala diperintahkan dan meninggalkan dilarang oleh-Nya dikira sebagai orang yang berzikir.

Zikir terbahagi kepada tiga bahagian iaitu zikir hati, lidah dan anggota. Zikir hati memikirkan keagungan dan kebesaran Allah di bumi, langit dan seluruh kejadian makhluk-Nya. Zikir lidah pula melantunkan puji-puji kepada Allah, mensyukuri nikmat kurniaan-Nya, menyeru masyarakat ke arah ajaran Islam, menerangkan kebaikan syarak, menjelaskan hikmah pada perintah dan larangan Allah, memberi nasihat kepada sesama Islam.

Sementara zikir anggota pula menggunakan anggota badan untuk melakukan amalan ketaatan, sama ada dalam bentuk melakukan segala suruhan atau meninggalkan segala larangan Allah.

Orang yang lupa atau lalai kepada Allah, hatinya selalu dirundung resah gelisah, tenggelam dalam kebimbangan dan sengaja meletakkan dirinya di tempat mengundang kemurkaan Allah lantaran tidak rasa bersalah terhadap kemungkaran dilakukan.

Lupa kepada Allah menandakan hati seseorang itu sudah berkarat dengan sifat mazmumah yang sangat keji. Orang beriman tidak akan membiarkan hatinya berkarat dan penuh dengan kekotoran, ia akan sentiasa menggilap hatinya dengan berzikir kepada Allah.

Ibnu al-Qayyim al-Jauziyah pernah berkata: "Tidak dimungkiri bahawa hati itu dapat berkarat seperti berkaratnya besi dan perak. Alat yang dapat membersihkan hati berkarat adalah zikir. Zikir dapat membersihkan hati berkarat sehingga dapat berubah menjadi bening seperti cermin yang bersih. Apabila seseorang meninggalkan zikir, hatinya akan berkarat. Dan apabila ia berzikir, hatinya akan bersih."

Sesungguhnya seseorang yang lalai daripada mengingati Allah bermakna dirinya dihinggapi penyakit sombong, lupa asal kejadian diri sebagai makhluk lemah yang diciptakan semata-mata supaya mengabdikan diri kepada-Nya dan mewarisi sifat orang munafik.

Firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya orang munafik itu menipu Allah dan Allah akan membalas tipuan mereka. Dan, apabila mereka berdiri untuk solat, mereka berdiri dengan malas. Mereka bermaksud riak (dengan solat) di hadapan manusia. Dan, tidaklah mereka menyebut Allah, kecuali sedikit sekali." (Surah an-Nisa, ayat 142)

Setiap mukmin sewajarnya menjadikan zikir sebagai sesuatu yang tidak terpisah daripada kehidupan seharian kerana banyak keistimewaan bakal diterima oleh orang yang sentiasa berzikir.

Kitab Tanbih al-Ghafilin menyatakan lima kelebihan dan faedah berzikir, iaitu mendapat keredaan Allah, menambahkan kesungguhan melaksanakan ketaatan, terkawal daripada hasutan syaitan, melembutkan hati dan mencegah daripada melakukan maksiat.

Orang yang memperbanyakkan zikir, dosanya akan diampuni sekali gus mendapat ganjaran pahala besar seperti firman yang bermaksud: "Lelaki dan perempuan yang banyak menyebut (nama) Allah, Aku sudah menyediakan untuk mereka ampunan dan pahala yang besar." (Surah al-Ahzab, ayat 35)

Orang yang selalu ingat kepada Allah jiwanya menjadi bening dan tenang, sekalipun sedang menghadapi banyak permasalahan hidup, ujian, musibah dan seumpamanya. Firman Allah yang bermaksud: "Ingatnya, hanya dengan mengingat Allah hati menjadi tenteram." (Surah al-Ra'ad, ayat 28)

Sesungguhnya dengan selalu ingat kepada Allah, akhlak diri menjadi indah dan menarik, sekali gus menjadi cermin bagusnya nilai ajaran Islam dan hebatnya orang mukmin pada mata orang bukan Islam seperti pernah ditunjukkan junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Jangan jadikan sibuk dengan urusan kehidupan di dunia sebagai alasan lupa kepada Allah. Sungguh Allah melarang keras seseorang memiliki sifat lalai seperti ditegaskan firman yang bermaksud: "Janganlah kamu termasuk orang-orang yang lalai." (Surah al-A'raf, ayat 205)
Labels: | edit post
0 Responses