Chef Engineer

Nizar dakwa diminta imamkan solat Maghrib


TAIPING: Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, semalam menjelaskan beliau diminta oleh imam Masjid Simpang di sini, untuk mengimamkan solat Maghrib dan menyampaikan tazkirah, malam kelmarin. Bagaimanapun, katanya, beliau tidak mengimamkan solat sunat hajat dianjurkan Barisan Nasional (BN) yang turut disertai Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Besar Perak, Datuk Dr Zambry Abdul Kadir. "Sewaktu menunaikan solat Maghrib di Masjid Simpang, saya diminta mengimamkan solat itu dan saya setuju. Ketika masuk ke masjid saya diberitahu Muhyiddin, Zambry dan calon BN, Ismail Saffian dan ramai lagi pimpinan Umno Pusat serta negeri juga ada bersama. Mereka semua berada di saf pertama.

"Pada rakaat pertama saya membaca ayat ‘Wa'tasimu bihablillahi jamiian, walaa tafarraqu.... " dan rakaat kedua surah al-Kaafirun. Selepas solat saya membaca doa termasuk doa Qunut Nazilah yang turut diaminkan oleh semua ma'mum termasuk pimpinan tinggi Umno, " katanya dalam laman web beliau kamparinn.blogspot.com. Mohammad Nizar mengulas laporan media semalam berhubung dakwaan Zambry bahawa beliau merampas dan mengambil alih program solat hajat serta majlis bacaan Yassin yang dikendalikan BN di Masjid Simpang, malam kelmarin. Katanya, imam masjid kemudian menjemput beliau menyampaikan tazkirah dengan memberi tafsir ayat al-Quran yang beliau baca pada rakaat pertama solat maghrib itu.

Bagaimanapun, katanya, beberapa pimpinan Umno setempat memprotes termasuk penasihat masjid yang meminta supaya majlis diteruskan dengan bacaan surah Yasin. "Saya mengelak bagi memelihara suasana dan selepas selesai bacaan itu, saya pergi bersalam dengan Zambry dan beliau nampak muram serta menyatakan kepada saya, kenapa menggunakan masjid berpolitik dan tidak sepatut saya jadi imam tadi,” katanya. Sementara itu, Imam Masjid Simpang, Norhisyam Hashim, mendakwa tidak mengetahui pemimpin pusat dan negeri berada dalam masjid ketika beliau memberi laluan kepada Mohammad Nizar mengimamkan solat Maghrib dan mengadakan tazkirah selama 20 minit selepas itu. Norhisyam berkata, sudah menjadi kebiasaan baginya menjemput sesiapa yang difikirkannya layak untuk menjadi imam solat tanpa memihak kepada sesiapa.

Ihsan : Berita Harian; 31 Mac 2009

ULASAN :
Saya pelik dengan perangai sesetengah pemimpin kita sekarang. Lihat la di dalam rumah ALLAH yang mulia pun boleh mencampur adukkan fahaman politik masing - masing. Sepatutnya pada pandangan saya yang tak berapa terer ni, perkara ini perlulah dihindari. Kita kena maklum bahawa tujuan kita berada di rumah ALLAH adalah untuk beribadat dengan tujuan untuk memperolehi ganjaran/pahala yang lebih lumayan dengan bersolat jemaah berbanding dengan solat bersendirian. Kita kena ingat bahawa kita ini adalah setara sahaja disisi ALLAH tanpa mengira pangkat duniawi dan kedudukan. ALLAH menilai hambaNYA menerusi IMAN dan TAKWA. Barangsiapa yang beriman dan bertakwa dengan sebenarnya-benarnya dan ikhlas dalam perbuatannya, dia lah yang dipandang dan diberikan darjat di dunia mahupun diakhirat kelak.
YB Nizar telah dipelawa oleh Imam masjid tersebut untuk mengimamkan jemaah dan beliau sendiri telah menyatakan bahawa tidak mengetahui dimasjid tersebut ada program solat hajat serta bacaan yaasin yang dianjurkan oleh UMNO. Bukan niat dia untuk merosakkan majlis yang dijalankan oleh piahk UMNO. Tazkirah yang diberikan adalah untuk peringatan semua bukan untuk tujuan politik. Bagi saya itu adalah tidak salah. Kita umat Islam wajib menasihati antara satu sama lain. Baguslah sebab ada orang yang masih sayangkan kita dan sanggup memberi nasihat kepada kita.
MB Zambry pun berkebolehan untuk menjadi IMAM. Saya sangat-sangat menyokong mana - mana pemimpin menjadi IMAM bagi solat jemaah. Baru ada barakah dalam pemerintahan. Pada masa hadapan saya berharap agar MB Zambry sendiri menjadi IMAM untuk majlis anjuran UMNO di masjid-masjid yang disertai beliau. Baru orang hormati..
Mungkinkah satu hari nanti kita dapat melihat pemimpin - pemimpin UMNO dapat menjadi IMAM bagi solat jemaah di dalam program - program yang dianjurkan oleh PAS? Hanya ALLAH yang MAHA Mengetahui..

WALLAHUA'LAM...
0 Responses